KUALA LUMPUR: Polis sedang mengesan seorang lelaki disyaki membawa senjata tajam ke dalam padang ketika berlaku perselisihan faham dalam satu perlawanan bola sepak di Pusat Bola Sepak KLFA di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju ACP Mohamad Lazim Ismail berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada 2.21 pagi tadi daripada seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun.

Beliau berkata pengadu mendakwa berlaku perselisihan faham antara pasukannya dengan pasukan lawan sebelum seorang pemain dari pihak lawan membawa masuk senjata tajam ke dalam padang dan mengacukan kepada salah seorang pemain pasukannya.

“Tiada pemain bola sepak daripada kedua-dua pasukan cedera dalam kejadian itu dan kes disiasat di bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, tular beberapa gambar di media sosial menunjukkan seorang pemain bola sepak difahamkan daripada liga sosial memegang senjata tajam disyaki kerambit ketika berlaku perselisihan faham di dalam padang.

Terdapat juga beberapa gambar menunjukkan lelaki terbabit memegang senjata di kedua-dua belah tangannya.