GEORGE TOWN: Polis sedang mengesan seorang lelaki tempatan bagi membantu siasatan kes khianat kereta menggunakan sebatang besi di Jalan Lebuh Pantai. Kejadian itu tular di media sosial selepas rakaman video insiden tersebut disebarkan.
Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut, Supt Lee Swee Sake, berkata pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki berumur 25 tahun pada pukul 7.55 malam semalam. Menurut laporan, kejadian berlaku sekitar pukul 4 petang ketika mangsa memandu di Jalan Lebuh Pantai.
“Kereta mangsa dilanggar oleh sebuah Perodua Myvi yang dinaiki suspek. Suspek kemudian keluar dari keretanya, mengambil sebatang besi, dan memukul bahagian pintu belakang kereta mangsa,“ kata Lee dalam kenyataan rasmi.
Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kerugian hampir RM3,000 akibat kerosakan pada kenderaannya. Polis telah mengenal pasti identiti suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan (khianat) - Bernama