• 2025-08-02 11:49 AM

BOGOTA (COLOMBIA): Bekas Presiden Colombia Alvaro Uribe Velez dijatuhi hukuman tahanan rumah selama 12 tahun oleh Hakim Sandra Heredia pada Jumaat. Hukuman itu termasuk larangan memegang jawatan awam selama lapan tahun dan denda kewangan.

Uribe, 73, menerima hukuman maksimum selepas mahkamah mendapati beliau bersalah atas tuduhan mengganggu saksi dan penipuan prosedur. Ini merupakan kali pertama seorang bekas presiden Colombia disabitkan kesalahan jenayah.

“Sepanjang prosiding, bekas presiden berkenaan secara konsisten menegaskan beliau tidak bersalah,“ menurut laporan media. Pihak pembelaan Uribe telah mengumumkan rancangan untuk merayu keputusan tersebut.

Jika Mahkamah Tinggi Bogota mengekalkan keputusan itu, kes boleh dibawa ke Mahkamah Agung Keadilan. Mahkamah turut mengarahkan siasatan lanjut terhadap Uribe atas dakwaan gangguan saksi untuk menjatuhkan lawan politik.

Pada 2020, Uribe dikenakan tahanan rumah sebelum meletak jawatan sebagai senator. Beliau didakwa secara rasmi pada Mei 2024 atas tuduhan rasuah, penipuan, dan gangguan saksi. Pejabat Pendakwa Raya pernah cuba menutup kes tetapi ditolak.

Uribe merupakan tokoh politik berhaluan kanan paling berpengaruh di Colombia dan dijangka memainkan peranan penting dalam pilihan raya presiden akan datang. Kes ini turut menarik perhatian pemimpin AS yang membantah tindakan kehakiman terhadap Uribe. - Bernama-Anadolu