SHAH ALAM: Polis sedang mengesan pemandu kenderaan yang disyaki terlibat kemalangan dengan sebuah motosikal hingga menyebabkan penunggangnya maut dalam kejadian di jalan utama Seri Cheeding, Kuala Langat, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat Supt Mohd Akmalrizal Radzi berkata kemalangan kira-kira 6.30 pagi itu berlaku apabila motosikal jenis Yamaha ditunggang lelaki berusia 20-an dari arah Banting menghala ke Rimbayu telah bergesel dengan sebuah kenderaan dari arah bertentangan.
Beliau berkata akibat kemalangan itu, penunggang motosikal telah hilang kawalan dan tercampak ke atas permukaan jalan di lorong bertentangan.
“Mangsa yang bekerja sebagai kelindan lori disahkan meninggal dunia di Unit Kecemasan Hospital Banting pada 8 pagi,“ katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Akmalrizal juga meminta pemandu kenderaan terlibat tampil ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Kuala Langat dan membuat laporan polis berkaitan kejadian itu.
Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.