SEPANG: Polis meminta bantuan orang ramai bagi mengesan seorang remaja perempuan berusia 17 tahun yang dilaporkan hilang sejak 29 Dis lepas.
Ketua Polis Daerah Sepang ACP Norhizam Bahaman berkata laporan kehilangan Nurul Fateha Nabila Mohd Zailani dibuat oleh ibu saudaranya pada 31 Dis lepas.
“Remaja berkenaan menetap di Kampung Sungai Merab Luar, Kajang, dan tinggal bersama pengadu sejak Februari tahun lepas, selepas diambil dari sebuah pusat pemulihan akhlak di Sabak Bernam, Selangor.
“Sebelum menghilangkan diri, remaja itu telah berkurung dalam bilik di rumahnya kerana berlaku selisih faham keluarga,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Norhizam berkata remaja itu dikesan hilang kira-kira 12 tengah hari dengan memakai t-shirt warna hitam dan berseluar trek sukan warna hitam serta membawa telefon bimbit semasa menghilangkan diri.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai mangsa boleh tampil ke balai polis berhampiran atau menghubungi pegawai penyiasat Sarjan Muhamad Jefry Mustafa di talian 014-8013500.