KUALA LUMPUR: Polis sedang mengesan suspek yang terlibat dalam kejadian tiga kes pecah cermin kereta di kawasan Dataran Sunway, Kota Damansara, Petaling Jaya pada 14 Nov lepas.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Shahrulnizam Jaafar berkata pihaknya menerima tiga laporan kes berkenaan yang dipercayai berlaku antara jam 7 sehingga 8.30 malam.
“Antara barang yang dicuri (dari kenderaan yang dipecah masuk) ialah dua unit komputer riba, satu tablet, satu fon putik, kad-kad ATM dan dokumen peribadi dengan jumlah kerugian adalah lebih kurang RM4,500. Kes ini juga dikesan tular di media sosial pada 17 Nov lepas,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kejadian itu diminta tampil membantu siasatan, atau boleh hubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di talian 03-7966 2222,” katanya.