• 2025-10-06 07:04 PM

KUALA LUMPUR: Pemandu kereta merekodkan jumlah saman tertinggi dalam Operasi Patuh Undang-Undang Polis Kuala Lumpur sejak operasi itu bermula pada 1 Oktober lalu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata sebanyak 13,365 saman telah dikeluarkan kepada pemandu kereta sehingga semalam.

Penunggang motosikal pula mencatatkan 2,813 saman diikuti pemandu van dan kenderaan pacuan empat roda dengan 200 saman.

Sebanyak 141 saman dikeluarkan kepada pemandu lori manakala pejalan kaki menerima 381 saman.

Teksi dan bas masing-masing menerima 62 dan 6 saman menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 16,968 saman.

Kesalahan menghalang lalu lintas adalah kesalahan tertinggi direkodkan dengan 11,720 saman.

Kesalahan mengabaikan isyarat lalu lintas mencatatkan 2,036 saman.

Kesalahan lain termasuk tiada atau tamat lesen memandu sebanyak 702 saman.

Cukai jalan tamat tempoh mencatatkan 489 saman manakala tidak menggunakan jejantas atau lintasan pejalan kaki merekodkan 381 saman.

Tidak berhenti di lampu isyarat merah dan ubah suai kenderaan masing-masing mencatatkan 148 dan 80 saman.

Polis Kuala Lumpur memulakan tindakan saman serta-merta kepada pesalah lalu lintas pada 1 Oktober lalu menerusi Op PUU.

Operasi ini dilaksanakan secara berterusan tanpa mengira waktu di seluruh ibu negara.

Matlamat operasi adalah bagi memastikan orang ramai sentiasa mematuhi undang-undang. – Bernama