BALIK PULAU: Polis terpaksa melepaskan tembakan ke arah sebuah van selepas pemandunya cuba melanggar anggota polis semasa hendak melarikan diri ketika ditahan di Jalan Datuk Ismail Hashim, Bayan Lepas di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt Kamarul Rizal Jenal berkata kejadian berlaku pada pukul 8 pagi semasa sepasukan polis trafik yang sedang menjalankan Op Perdagangan di Jalan Tun Dr Lim Chong Eu cuba menahan sebuah van yang dilihat mencurigakan, namun van itu terus memecut laju.

Beliau berkata anggota polis yang mengejar van berkenaan sehingga ke Jalan Datuk Ismail Hashim terpaksa melepaskan satu das tembakan ke arah tayar hadapan kenderaan itu selepas pemandunya cuba melanggar anggota polis, dan van itu kemudiannya terbabas di bahu jalan.

“Susulan itu polis menahan seorang lelaki berumur 36 tahun yang memandu van berkenaan, dan pemeriksaan awal mendapati dia tidak mempunyai lesen memandu, di samping mempunyai pelbagai rekod jenayah lampau,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata van itu turut berlanggar dengan beberapa kenderaan lain yang diparkir di tepi jalan semasa dikejar sejauh kira-kira 5 km dalam kejadian itu.

Kamarul Rizal berkata ujian air kencing mendapati lelaki itu positif dadah jenis methamphetamine dan dia juga mempunyai rekod dikehendaki polis bersabit dengan kes seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.