KUALA LUMPUR: Polis melepaskan tujuh das tembakan terhadap sebuah kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki empat penjenayah setelah mereka cuba merempuh kereta peronda semasa melarikan diri daripada pemeriksaan di Serendah dekat sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt Ahmad Faizal Tahrim berkata dalam kejadian pada 2.41 pagi itu, pegawai polis daripada Cawangan Kereta Peronda Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Selangor cuba menahan sebuah kenderaan dalam keadaan mencurigakan dengan mengarahkannya berhenti.

“Bagaimanapun, ketika hendak ditahan, kenderaan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton yang dinaiki oleh empat lelaki itu telah bertindak merempuh kenderaan peronda sehingga membahayakan nyawa pegawai polis bertugas.

“Ekoran itu, polis terpaksa melepaskan tujuh das tembakan ke arah kenderaan berkenaan. Kesemua suspek bagaimanapun berjaya melarikan diri dengan meninggalkan kenderaan yang dinaiki di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Hasil pemeriksaan terhadap kenderaan yang ditinggalkan suspek, polis menemukan sebilah parang, sebilah sabit, satu unit kuku kambing, pemutar skru dan tukul besi.

“Polis kini sedang giat memburu kesemua suspek berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Insp Mohamad Azraai Firdaus Rosli di 03-60641223 atau IPD Hulu Selangor 03-60651021 atau mana-mana balai polis berhampiran.