IPOH: Seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun terpaksa menahan kesakitan selepas jarinya tersepit di dalam mesin permainan di sebuah kedai runcit di Jalan Panchor, Kampung Pantai Remis, dekat Manjung petang tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata dalam kejadian kira-kira 6.40 petang itu, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Trong mengambil masa kira-kira 10 minit untuk mengeluarkan jari mangsa.

Beliau berkata bomba menerima panggilan kecemasan pada 6.47 petang dan peralatan khas digunakan bagi mengeluarkan jari kanak-kanak berkenaan.

“Mangsa hanya mengalami cedera ringan dan kanak-kanak itu dipercayai memasukkan jari ke dalam lubang mesin permainan ketika cuba mengeluarkan bebola dalam mesin permainan itu atau egg twisting machine,“ katanya.