JOHOR BAHRU: Polis menafikan dakwaan bahawa kenderaan pengiring polis digunakan untuk mengiringi seorang pemilik kilang keluar dari kawasan premisnya di Skudai, semalam.

Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata sebaliknya pihaknya hadir bagi mengawal kekecohan yang berlaku di lokasi berkenaan.

“Polis Johor menafikan video tular menerusi aplikasi TikTok berkaitan pihak polis memberi kebenaran menggunakan kenderaan pengiring polis untuk eskot pemilik sebuah kilang di Skudai keluar dari kawasan kilangnya.

“Hasil semakan mendapati, kira-kira 12.30 tengah hari semalam telah berlaku kekecohan di hadapan kilang tersebut melibatkan beberapa individu,“ katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Beliau sehubungan itu, menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah percaya dan menyebar berita tidak sahih kerana boleh mengelirukan masyarakat dan mengganggu-gugat ketenteraman awam.

Orang awam atau saksi, katanya diminta tampil membuat laporan sekiranya mempunyai sebarang maklumat bagi membantu siasatan.

Terdahulu, tular beberapa video menerusi TikTok memaparkan seorang individu mempersoalkan tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengiringi pemilik kilang yang juga wanita didakwa berasal dari Kemboja itu meninggalkan kilangnya ketika kekecohan berlaku, semalam.–Bernama

Clickable Image
Clickable Image
Clickable Image