IPOH: Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PAS dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan berhubung satu perhimpunan yang diadakan di Dataran Menara Condong Teluk Intan, pada Sabtu.

Ketua Polis Perak Datuk Azizi Mat Aris berkata kedua-duanya iaitu ADUN Gunung Semanggol yang juga Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria dan ADUN Selinsing Sallehuddin Abdullah, bersama tiga lagi individu dari parti sama dirakam percakapan di Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak kira-kira 10 pagi, semalam.

“Perhimpunan itu diadakan oleh gabungan badan bukan kerajaan (NGO) Teluk Intan, dengan kehadiran seramai kira-kira 400 individu yang merupakan pimpinan PAS Perak, badan bukan kerajaan (NGO) serta penduduk setempat.

“Perhimpunan itu didapati tidak menghantar pemakluman kepada polis dan berdasarkan kesalahan, kes disiasat di bawah Seksyen 9(1) Akta Himpunan Aman 2012, kerana berhimpun selain berucap tanpa kebenaran. Polis turut menafikan siasatan dilakukan atas kesalahan mengibarkan Jalur Gemilang,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Sebelum ini media melaporkan lebih 300 individu membanjiri Dataran Menara Condong Teluk Intan, susulan insiden bendera negara China dikibarkan peserta Sambutan Guan Gong Sedunia, Khamis lalu.

Media turut melaporkan Razman yang juga Ketua Pembangkang Perak memberi ucapan tanpa pembesar suara pada perhimpunan itu.

Azizi berkata lapan laporan polis diterima pihaknya berhubung himpunan tersebut, selain kertas siasatan akan dirujuk kepada Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perak hari ini, untuk tindakan lanjut.

Beliau turut meminta orang ramai diminta untuk tidak membuat spekulasi berkaitan isu itu sehingga mencetuskan kegusaran awam.