• 2025-08-08 03:49 PM

KUALA LUMPUR: Polis telah merekodkan keterangan 37 mangsa dan tiga saksi kes penipuan pelaburan tidak wujud membabitkan sebuah syarikat, dengan jumlah kerugian keseluruhan dianggarkan RM8.45 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Rusdi Mohd Isa berkata pihaknya menerima 43 laporan polis berkaitan kes itu sejak 2023 dan 15 kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Beliau berkata skim pelaburan itu dikendalikan syarikat yang mendakwa mempunyai akses kepada dana emas dan tunai bernilai berbilion ringgit di luar negara, namun siasatan mendapati syarikat itu tidak berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

“Pelabur dijanjikan pulangan tinggi apabila dana (emas) tersebut berjaya dicairkan selepas modal mencukupi dikumpulkan bagi menampung kos pengurusan dan pengaktifan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Rusdi berkata mangsa terperdaya dengan seorang individu kononnya bergelar ‘Datuk Seri’ iaitu dalang utama skim pelaburan itu, yang dikatakan menguruskan pewarisan harta milik seorang warganegara Indonesia di luar negara.

Mangsa juga dipengaruhi dengan dokumen lengkap dengan logo, cop dan tandatangan kononnya dikeluarkan Bank Negara Malaysia (BNM).

“Sehingga kini, tiada pelabur menerima dana atau pulangan wang seperti dijanjikan, sebaliknya pelbagai alasan diberikan termasuk masalah teknikal di luar negara dan dokumen tamat tempoh,” katanya.

Kes penipuan berkenaan sebelum ini didedahkan Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) Datuk Hishamuddin Hashim. - Bernama