ALOR SETAR: Polis Kedah menahan dua lelaki serta merampas 45,552 kilogram dadah jenis bunga ganja bernilai lebih RM1.6 juta yang cuba diseludup ke negara ini di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, semalam.

Ketua Polis Kedah Datuk Fisol Salleh berkata suspek warga tempatan berumur 29 tahun dan warga Thailand berumur 50-an ditahan pada 5 petang, sebelum polis menemukan 80 peket mampat dipercayai bunga ganja di dalam kenderaan pikap dengan nombor pendaftaran Thailand yang dinaiki suspek.

“Pemeriksaan lanjut menjumpai dua beg bagasi yang diletakkan di ruang barangan kenderaan (belakang pikap), masing-masing mengandungi 40 peket plastik lutsinar mampat berisi daun-daun kering disyaki bunga ganja.

“Jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM1.623 juta di pasaran gelap, harga di Thailand 100,000 Baht dan di Malaysia bernilai RM36,000 per kilogram. Kita percaya modus operandi mereka dengan menggunakan beg bagasi, kalau kita tak periksa beg ini mungkin akan terlepas kerana mereka menggunakan laluan sah,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata rampasan bunga ganja terbabit merupakan yang pertama di Kedah setakat ini, dan siasatan mendapati kesemua dadah yang dirampas dipercayai akan diedarkan di kawasan Lembah Klang dan Johor.

“Siasatan juga mendapati suspek tempatan itu bertindak sebagai transporter dadah dan mengaku telah beberapa kali membawa dadah dari Thailand ke Malaysia melalui sempadan Bukit Kayu Hitam dan Sungai Golok, Kelantan dengan bayaran antara RM1,000 hingga RM2,000 bagi setiap kali penghantaran.

“Suspek juga mempunyai tiga rekod lampau berkaitan dadah dan ujian air kencing mendapati dia positif dadah jenis methamphetamine manakala lelaki Thailand itu bekerja sebagai pemandu teksi di pekan Danok, Thailand negatif dan tiada rekod kesalahan lampau,” katanya.

Fisol berkata kedua-dua suspek kini direman selama tujuh hari hingga 21 Mei bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau berkata susulan penahanan itu, polis turut mengesan individu lain dipercayai dalang utama sindiket dan difahamkan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor telah berjaya memberkas dua lagi suspek hari ini.

“Seorang lelaki berumur 30-an yang mempunyai tujuh rekod kesalahan narkotik dan dua rekod kesalahan jenayah manakala seorang perempuan berumur 38 tahun tidak memiliki rekod lampau berjaya ditahan hari ini di Johor dan akan dibawa ke Kedah untuk siasatan lanjut,” katanya.

Polis katanya, akan terus membanteras dadah rentas sempadan dan memastikan Malaysia bebas daripada ancaman dadah.

“Kita bukan sahaja menumpukan kepada pengedaran dan penagihan, tetapi juga pembekalan dan ini kejayaan yang signifikan bagi kontinjen Kedah,” katanya.