• 2025-06-27 09:43 PM

WASHINGTON: Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS) Marco Rubio pada Khamis mengumumkan sekatan visa baharu sebagai usaha menangani krisis yang berpunca daripada penggunaan opioid fentanyl, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

“Krisis fentanyl di AS adalah luar biasa, dengan kes pengambilan berlebihan kekal menjadi punca utama kematian dalam kalangan rakyat Amerika berusia 18 hingga 44 tahun,” kata Rubio dalam satu kenyataan, sambil menambah bahawa pada 2024, purata 220 kematian akibat dos berlebihan direkodkan setiap hari di AS.

Polisi sekatan visa baharu itu menyasarkan “ahli keluarga serta kenalan peribadi dan rakan perniagaan” pengedar dadah, kata Rubio. Bagaimanapun, butiran terperinci mengenai langkah tersebut tidak dijelaskan.

Fentanyl, ubat penahan sakit opioid yang sangat kuat, merupakan dadah sintetik yang sangat ketagihan dan telah mencetuskan masalah dadah yang serius di AS.