KOTA BHARU: Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara merampas produk kosmetik bernilai lebih RM90,000 dipercayai diseludup masuk dari negara jiran di pangkalan haram Kertas, Pengkalan Kubor, Tumpat, semalam.
Komander Briged Tenggara PGA Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata barangan terbabit dikesan sepasukan anggota Batalion 8 pada 10.15 pagi semasa rondaan Op Taring Wawasan Kelantan.
“Pemeriksaan menemukan lima kotak produk kosmetik dipercayai dari Thailand tanpa dokumen yang sah, dipercayai untuk diedar di pasaran tempatan,“ katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata barangan dirampas dibawa ke Komtak Rantau Panjang untuk tindakan mengikut Seksyen 7(1)(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah Dan Kosmetik 1984.
Dalam operasi berasingan, Nik Ros Azhan berkata sepasukan anggota Batalion 7 merampas sejumlah barangan runcit bernilai RM24,000 dipercayai cuba diseludup masuk ke negara ini selepas menahan seorang lelaki dan wanita warga Thailand, semalam.
Beliau berkata masing-masing berusia 40 dan 43 tahun ditahan di Jalan Pohon Tanjung, Pasir Mas pada 8.15 pagi selepas kenderaan dinaiki dilihat dalam keadaan mencurigakan.
“Hasil pemeriksaan menemukan pelbagai barangan runcit tanpa dokumen sah di dalam kenderaan itu,“ katanya menambah kes disiasat di bawah Seksyen 4 (1) Akta Makanan 1983.