KUALA LUMPUR: Polis menahan dua lelaki warganegara Indonesia dan merampas rokok tidak bercukai dianggarkan bernilai lebih RM500,000 dalam dua serbuan berasingan semalam.
Serbuan dilakukan di Taman Seri Serdang, Kapar, Klang dan Jalan Setia Impian, Shah Alam di Selangor antara jam 12 tengah hari hingga 2 petang.
Pegawai Pemerintah Batalion 4 Pasukan Gerakan Am Supt Jafri Muhamad berkata operasi itu dilaksanakan bersama Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara dan Shah Alam berikutan maklumat orang awam.
Dalam serbuan pertama, seorang lelaki ditahan dengan rampasan 440 karton rokok dan sebuah kereta.
Serbuan kedua membawa kepada penahanan seorang lelaki lain dengan rampasan 260 karton rokok, sebuah kereta dan dua telefon bimbit.
Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM532,896.40.
Semua tangkapan dan barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Utara dan Shah Alam untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Akta Kastam 1967 dan Akta Imigresen 1959/63.
Jafri menyeru orang awam terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti menyalahi undang-undang kepada polis bagi membanteras jenayah. – Bernama