SHAH ALAM: Dua kertas siasatan berasingan, termasuk kes seorang penceramah bebas yang dikaitkan dengan penyebaran video seks isteri-isterinya, akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) minggu ini.
Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya turut merujuk kes seorang lelaki warga Pakistan yang didakwa mencabul dan meliwat kanak-kanak serta remaja lelaki berusia sembilan, 13, 14 dan 19 tahun.
“Kes liwat oleh suspek warga Pakistan dan kes berkait penceramah bebas akan dirujuk ke TPR dalam minggu ini. Saya akan maklumkan perkembangannya,“ katanya dalam kenyataan ringkas menerusi WhatsApp hari ini.
Sebelum ini, polis menahan suspek warga Pakistan di Kuala Nerang, Kedah pada 8 Julai lalu atas syak terlibat dalam kes liwat dan gangguan seksual di sekitar Seksyen 27 dan Seksyen 28 di sini. Seorang lagi rakyat Pakistan turut ditahan kerana disyaki membantu suspek menyembunyikan diri.
Pada 5 Julai lalu, Mohd Iqbal dilaporkan berkata polis sedang menyiasat kes penyebaran video lucah oleh penceramah bebas berkenaan. Laporan dibuat oleh isteri kedua suspek yang mendakwa lelaki itu menyebarkan video hubungan intim dirinya bersama madu serta beberapa wanita lain.