KUALA LUMPUR: Polis sedang mengenal pasti dalang atau agensi tempatan yang bertanggungjawab dalam kes penipuan pakej haji melibatkan sekumpulan jemaah warga emas yang mendakwa dikurung dan diarahkan melalui laluan berbahaya di Arab Saudi untuk mengerjakan rukun Islam kelima itu.
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali berkata pihaknya telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan setelah menerima tiga laporan daripada waris mangsa iaitu dua di Mantin, Negeri Sembilan dan satu di Ayer Hitam, Johor.
“Masih terlalu awal untuk menyatakan wujud unsur penipuan rentas sempadan. Keterangan dan bukti sedang dikumpul berkenaan kemungkinan sindiket berkenaan bekerjasama dengan ejen tertentu atau pun tidak.
“Pihak kami menunggu kepulangan semua mangsa untuk dirakam percakapan dan mengambil tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Muhammed Hasbullah berkata polis juga akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Lembaga Tabung Haji (TH) dan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) untuk menyenarai hitam syarikat yang menawarkan pakej haji tanpa kelulusan.
Beliau berkata pihak polis komited untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terlibat dengan kes penipuan seperti itu bagi melindungi rakyat daripada menjadi mangsa penipuan.
Pada masa sama Muhammed Hasbullah turut merakamkan penghargaan kepada pihak media dalam membantu menyebarkan maklumat dan meningkatkan kesedaran orang ramai bahawa hanya mereka yang memiliki visa haji sahaja dibenarkan pihak berkuasa untuk menunaikan ibadah haji.
Semalam, media melaporkan hasrat sekumpulan 47 jemaah dari Malaysia untuk menunaikan rukun Islam kelima itu tidak kesampaian selepas mendakwa menjadi mangsa penipuan ejen haji tempatan yang dipercayai membabitkan seorang agamawan terkenal.
Laporan itu memetik kenyataan anak kepada seorang mangsa yang mendakwa ibu, bapa dan ibu saudaranya yang bertolak ke Arab Saudi untuk mengerjakan haji bersama ejen berkenaan pada 9 Mei lepas, dipaksa berjalan kaki meredah laluan berbahaya dari Jeddah ke Makkah tanpa sebarang dokumen lengkap, makanan dan minuman.
Ia dipercayai untuk mengelak daripada dikesan pihak berkuasa Arab Saudi susulan kawalan ketat terhadap jemaah yang tidak mempunyai visa haji.
Kumpulan jemaah itu juga mendakwa mereka telah dikurung dan dikunci dalam bilik yang gelap serta sempit selain diminta membuat bayaran tambahan lebih RM9,000 jika hendak mengambil barangan yang ditinggalkan sebelum ini sedangkan mereka telah membayar RM30,000 untuk pakej haji bersama agensi itu.