GEORGE TOWN: Tiga lelaki warga asing yang dikurung dalam rumah di sebuah pangsapuri di Jalan Dr Wu Lien Teh, di sini diselamatkan sepasukan polis dalam serbuan di kediaman itu semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut Supt Lee Swee Sake berkata seorang lelaki warga asing berusia 47 tahun membuat laporan polis memaklumkan tiga rakannya telah dikurung beberapa individu di rumah berkenaan.
“Bertindak atas maklumat itu, sepasukan polis menyerbu rumah berkenaan pada 2 petang sebelum berjaya menyelamatkan tiga lelaki warga asing berusia antara 28 hingga 52 tahun.
“Pemeriksaan awal mendapati kesemua mereka berada dalam keadaan selamat dan sihat,“ katanya dalam kenyataan hari ini.
Lee berkata polis turut menahan tiga lelaki tempatan berumur 40 hingga 56 tahun dan seorang wanita warga asing berusia 40 tahun yang dipercayai berperanan menjaga mangsa.
Beliau berkata mereka direman selama empat hari hingga 14 Jun ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 344 Kanun Keseksaan kerana melakukan kurungan salah.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk mengenal pasti sama ada mangsa dijanjikan pekerjaan untuk datang ke sini sebelum dikurung dan pemeriksaan mendapati tiga lelaki warga asing itu mempunyai pasport tetapi ada yang telah tamat tempoh,“ katanya.