• 2025-10-08 05:50 PM

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersiap sedia sepenuhnya bagi memastikan kelancaran Himpunan Solidariti Bersama Gaza di Axiata Arena, Bukit Jalil malam ini.

Ketua Polis Daerah Cheras ACP Aidil Bolhassan berkata seramai 140 pegawai dan anggota akan terlibat dalam Op Lakar Perdana.

Beliau berkata kawalan trafik dan keselamatan akan ditumpukan di sekitar Bukit Jalil bagi memastikan aliran keluar masuk peserta berjalan lancar.

“Hanya bendera Malaysia dan Palestin dibenarkan dibawa masuk ke dalam Axiata Arena,“ katanya ketika dihubungi Bernama.

Aidil berkata penggunaan banner, plakad dan bahan berkaitan lain tidak dibenarkan dalam kawasan acara bagi menjaga keselamatan semua pihak.

Pihaknya menjangkakan antara 10,000 hingga 12,000 orang akan hadir bagi menyertai himpunan itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam mengajak seluruh rakyat Malaysia menyertai himpunan sebagai tanda sokongan kepada perjuangan rakyat Palestin.

Himpunan ini juga menyokong aktivis misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla yang baru pulang ke tanah air.

Misi GSF disertai lebih 500 aktivis dari 44 negara belayar menuju Gaza sebagai simbol solidariti dan membawa bekalan penting.

Kesemua aktivis termasuk 23 rakyat Malaysia dipintas ketika berada di perairan zon merah R3 di Laut Mediterranean dan dibawa ke pelabuhan Ashdod, Israel.

Semua aktivis Malaysia berjaya dibawa keluar dari Israel pada 4 Okt hasil bantuan kerajaan Turkiye.

Serangan genosid Israel di Gaza bermula sejak 7 Okt 2023 dan menyebabkan sekurang-kurangnya 67,173 orang terbunuh.

Serangan itu juga menyebabkan 169,780 yang lain cedera termasuk 20,179 kanak-kanak. – Bernama