SHAH ALAM: Polis sedang menyiasat satu kejadian buli melibatkan pelajar perempuan di dalam tandas sebuah sekolah menengah di Klang kata Ketua Polis Daerah Klang Utara ACP S Vijaya Rao.
Beliau berkata laporan mengenai kejadian itu dibuat pada 12.53 tengah hari tadi, susulan tular satu rakaman video yang memaparkan kejadian tersebut di laman sosial.
“Polis memandang serius sebarang bentuk perlakuan buli, khususnya yang berlaku dalam kalangan pelajar sekolah dan tindakan tegas akan diambil bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara.
“Punca pergaduhan masih dalam siasatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Vijaya turut menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan sebarang spekulasi atau andaian yang boleh menimbulkan kegusaran awam.
“Mereka yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini, boleh menghubungi Inspektor Mohamad Izroy Kamarulzaman di talian 014-8183519 bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah seksyen 323 kanun keseksaan,” katanya.
Rakaman video berdurasi lebih dua minit itu, memaparkan seorang pelajar perempuan dikelilingi sekumpulan pelajar perempuan lain dalam tandas dan ditanyakan beberapa soalan sebelum dipukul pada bahagian badan dan ditampar.