GEORGE TOWN: Polis sedang menjalankan siasatan lanjut berkaitan kejadian pergaduhan melibatkan beberapa individu dipercayai termasuk anak bekas Exco Pulau Pinang yang bergelar ‘Datuk’ di sebuah kafe di Jalan Sultan Ahmad Shah, di sini baru-baru ini seperti tular menerusi media sosial.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Razlam Ab Hamid berkata kejadian itu berlaku pada 11 Mei lepas dan pihaknya telah menerima laporan daripada kedua-dua pihak berhubung insiden berkenaan.

“Setakat ini tiada tangkapan dan polis sedang menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan,“ katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Video berdurasi 43 saat itu memaparkan pergaduhan beberapa individu termasuk dua wanita.

Difahamkan seorang daripada yang terlibat dalam pergaduhan itu ialah anak bekas Exco Pulau Pinang yang bergelar ‘Datuk’ dan pernah berkhidmat dengan kerajaan negeri pada 1999 hingga 2018.