SHAH ALAM: Polis akan memanggil semua peserta yang hadir dalam program motivasi rumah tangga yang didakwa tidak bermoral untuk merakam percakapan bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata tindakan ini diambil mengikut Seksyen 122 Kanun Acara Jenayah selepas kertas inkuiri dibuka.
“Hasil siasatan lanjut, kes ini diklasifikasikan di bawah Seksyen 294 dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil. Siasatan teliti akan dilakukan bagi mengenal pasti elemen lucah atau ajaran menyimpang,“ katanya dalam kenyataan hari ini.
Hussein menegaskan siasatan akan dilaksanakan secara menyeluruh bagi memastikan setiap dakwaan dinilai dengan adil.
Beliau turut menasihati orang ramai agar lebih berhati-hati sebelum menyertai mana-mana program yang tidak jelas latar belakang penganjurnya.
Sebelum ini, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari meminta Jabatan Agama Islam Selangor menyiasat dakwaan aktiviti tidak bermoral semasa program motivasi di sebuah pusat konvensyen.
“Perkara ini perlu diambil berat dan tindakan tegas akan dikenakan jika dakwaan disahkan benar,“ kata Amirudin. – Bernama