KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang wanita dan teman lelakinya selepas disyaki mengabaikan dua anak wanita terbabit, masing-masing berusia empat dan 16 tahun di sebuah kediaman di Puchong dekat sini, Rabu lepas.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Wan Azlan Wan Mamat berkata pihaknya menerima maklumat daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berhubung kejadian itu pada 12.43 tengah hari sebelum siasatan dijalankan.
“Hasil siasatan mendapati kedua-dua mangsa (perempuan) tinggal bersama ibu kandung mereka yang berusia 37 tahun serta teman lelaki wanita itu berusia 42 tahun di rumah berkenaan.
“Pemeriksaan air kencing mendapati wanita tersebut negatif dadah manakala teman lelakinya positif serta mempunyai lapan rekod jenayah membabitkan kes narkotik,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Wan Azlan berkata pemeriksaan di hospital mendapati tiada kesan parut lama pada tubuh kedua-dua mangsa namun keadaan kediaman mereka didapati kotor dan tidak selamat untuk didiami.
“Kedua-dua mangsa masih berada di hospital untuk pemerhatian lanjut dan berada di bawah pemantauan,” katanya.
Beliau berkata siasatan juga mendapati terdapat unsur penganiayaan emosi terhadap remaja perempuan berusia 16 tahun itu yang kini mengalami tekanan perasaan.
Wan Azlan berkata setakat ini lima individu diambil keterangan bagi membantu siasatan dan kedua-dua suspek direman enam hari sehingga 10 Jun.
Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.