• 2025-09-11 04:40 PM

KUALA LUMPUR: Polis menahan beberapa individu berikutan kekecohan semasa operasi pengosongan 37 unit rumah teres Kampung Sungai Baru pagi tadi.

Kejadian tersebut menyebabkan Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Sulizmie Affendy Sulaiman mengalami kecederaan di kepala.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus menyatakan pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang mencetuskan provokasi sehingga mencederakan pegawai polis.

Beliau menyatakan rasa marah apabila dimaklumkan mengenai kejadian ACP Sulizmie Affendy cedera dibaling objek dan menegaskan perkara ini bukan sesuatu yang kecil.

Fadil menekankan bahawa mereka yang terlibat akan dikenakan tindakan tegas dengan beberapa individu sudah ditahan.

Beliau membuat kenyataan tersebut pada sidang media selepas meninjau operasi pengosongan rumah teres di kampung berkenaan yang dijalankan berikutan arahan mahkamah.

Sebelum itu, Fadil turut memberikan penjelasan kepada penduduk yang berkumpul supaya memahami tanggungjawab pihak polis dalam melaksanakan perintah mahkamah.

Sulizmie Affendy telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk menerima rawatan atas kecederaan yang dialaminya.

Terdapat juga orang awam yang mengalami cedera ringan berupa terseliuh pada tangan dalam kejadian rempuhan tersebut.

Polis akan mengenal pasti individu berkenaan yang mengalami kecederaan ringan dalam insiden tersebut.

Pihak polis mengesan sekumpulan individu yang dikenal pasti bukan penduduk Kampung Sungai Baru dipercayai cuba menimbulkan kekecohan.

Terdapat dalam kalangan individu yang berkumpul dipercayai terbabit dengan aktiviti menimbulkan kekacauan serta mencurigakan.

Perkara tersebut diakui oleh penduduk yang mengenal pasti terdapat orang luar turut berkumpul dan menimbulkan kekecohan di lokasi kejadian. – Bernama