• 2025-06-25 10:07 PM

IPOH: Polis menahan seorang lelaki berusia 31 tahun bagi membantu siasatan kematian bapanya yang ditemukan dengan kesan tikaman di sebuah rumah di Taman Tasek Damai di sini, tengah malam tadi. Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata suspek bekerja sebagai penjual sambilan dan direman tujuh hari bermula hari ini.

Mangsa berusia 57 tahun ditemukan terlentang dan berlumuran darah di dapur rumah dengan kesan tikaman di perut serta hirisan pada dada. Suspek tinggal bersama mangsa dan memberitahu kali terakhir bapanya membalas pesanan telefon pada 2.40 petang.

“Semasa pulang ke rumah pada 7.30 malam, pintu jeriji dan pintu cermin terbuka manakala sofa di ruang tamu tidak tersusun. Bagaimanapun, tiada barang berharga hilang,“ kata Abang Zainal dalam kenyataan hari ini.

Polis menemukan sebilah pisau berukuran 22 sentimeter yang telah dibersihkan di singki dapur, dipercayai digunakan dalam kejadian itu. Jiran mangsa pula memberitahu kali terakhir melihat lelaki itu di luar rumah pada 11 pagi dan tidak mendengar sebarang kejadian mencurigakan.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat. Siasatan lanjut dilakukan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.