SEREMBAN: Polis menahan seorang lelaki dan wanita bagi membantu siasatan berhubung kematian dua kanak-kanak yang lemas selepas kereta dinaiki mereka menggelongsor ke dalam Sungai Linggi di Tanjung Agas, Port Dickson.
Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad berkata lelaki tempatan berusia 46 tahun disyaki bapa kepada dua kanak-kanak itu dan wanita berumur 41 tahun ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah Port Dickson pada 8 malam tadi.
Beliau menyatakan mereka ditahan selepas didapati memberi keterangan meragukan berhubung kejadian tersebut.
“Hasil semakan mendapati lelaki itu mempunyai 16 rekod lampau termasuk empat kes masih dikehendaki berkaitan tipu dan jenayah manakala wanita tersebut tidak mempunyai sebarang rekod jenayah.
“Hasil saringan ujian air kencing kedua-duanya adalah negatif.
“Semakan ke atas kereta tersebut mendapati kenderaan itu pernah dilaporkan hilang sebelum ini,“ katanya dalam kenyataan.
Alzafny berkata kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Seremban untuk permohonan reman bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian untuk menghubungi IPD Port Dickson di talian 06-6472222 atau Pegawai Penyiasat ASP Husairin Che Hussin.
Terdahulu, Alzafny berkata pihaknya menerima maklumat daripada orang awam berhubung sebuah kereta jenis Nissan terjatuh ke dalam sungai Tanjung Agas, Port Dickson dengan kanak-kanak lelaki dan perempuan di dalamnya.
Siasatan mendapati kanak-kanak tersebut masing-masing berumur enam dan lapan tahun yang beralamat di Shah Alam, Selangor, dipercayai lemas akibat terperangkap di dalam kenderaan.
Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Maslan Udin dilaporkan berkata kanak-kanak perempuan berjaya dinaikkan ke darat pada 1.24 tengah hari manakala kanak-kanak lelaki pula pada 1.47 tengah hari.
Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan.
Siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku semasa dua kanak-kanak serta lelaki dan wanita itu sedang berehat sambil memancing di kawasan terbabit.
Kenderaan yang berada dalam keadaan parkir secara tiba-tiba menggelongsor jatuh ke dalam sungai.
Ketika kejadian lelaki tersebut berada di luar kereta manakala mangsa berada di dalam kenderaan bersama seorang wanita namun dia berjaya diselamatkan oleh orang ramai yang berada berdekatan. – Bernama