• 2025-09-05 05:37 PM

KUALA LUMPUR: Malaysia dan negara anggota ASEAN berharap agar demonstrasi di Indonesia akan tamat segera, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar berkata ketika pertemuan di Beijing, China baru-baru ini, Presiden Indonesia Prabowo Subianto memaklumkan beliau bahawa situasi di republik itu kini bertambah baik.

“Kita doakan yang sebaik mungkin untuk Indonesia kerana ia bukan sahaja negara ASEAN tetapi juga negara sahabat, keluarga, serumpun,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Temu Mesra Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan di Masjid Jamek Bandar Baru Seri Petaling di sini hari ini.

Pada 29 Ogos lepas, Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta memaklumkan sedang memantau rapi perkembangan terkini susulan demonstrasi di kawasan Senayan, Jakarta Pusat.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata Malaysia juga berharap pembentukan kerajaan baharu di Thailand dapat dilaksanakan secepat mungkin.

“Sebaik sahaja semuanya teratur, saya akan menghubungi mereka,” kata beliau.

Semalam, Dewan Perwakilan Thailand dilaporkan akan mengundi bagi memilih perdana menteri baharu hari ini susulan pemecatan Paetongtarn Shinawatra minggu lepas - BERNAMA