• 2025-07-13 05:52 PM

GEORGE TOWN: Polis berjaya menahan seorang lelaki berusia 37 tahun susulan kejadian khianat ke atas sebuah kereta di Jalan Lebuh Pantai.

Kejadian yang tular di media sosial itu melibatkan penggunaan sebatang rotan untuk merosakkan kenderaan mangsa.

Menurut Timbalan Ketua Polis Daerah Timur Laut Supt Lee Swee Sake, suspek ditahan di tepi jalan Persiaran Karpal Singh pada pukul 10.15 malam.

“Polis berjaya menyelesaikan kes ini dalam masa singkat dan merampas kereta serta rotan yang digunakan dalam kejadian itu,“ jelasnya dalam kenyataan hari ini.

Lelaki tersebut direman sehari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan (khianat).

Kes ini bermula selepas seorang mangsa membuat laporan polis pada Jumaat lepas, mendakwa keretanya dilanggar oleh sebuah Perodua Myvi.

Suspek kemudian dikatakan keluar dari kenderaan dan memukul bahagian pintu belakang kereta mangsa menggunakan objek dipercayai batang besi, menyebabkan kerugian hampir RM3,000. – Bernama