• 2025-07-14 04:52 PM

GEORGE TOWN: Polis berjaya menahan seorang lelaki tempatan bersama kekasihnya warga Thailand atas susulan pengedaran dadah di sekitar Pulau Tikus dan Tanjong Tokong.

Tangkapan dilakukan pada 10 Julai lepas oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Daerah Timur Laut.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Abdul Rozak Muhammad berkata pasangan berusia 25 dan 20 tahun itu ditahan di tepi jalan Pulau Tikus pada pukul 11.30 malam.

Operasi itu sebahagian daripada usaha membanteras pengedaran dadah di kawasan tersebut.

“Susulan tangkapan itu, polis menyerbu sebuah rumah di Tanjong Tokong dan menemui 15 ketulan mampat daun kering dibalut plastik lutsinar disyaki ganja.”

“Dadah itu dianggarkan seberat 8,200 gram bernilai RM25,420,“ katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut.

Menurut beliau, sindiket itu aktif sejak awal tahun ini, namun siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti rangkaian terlibat.

Dadah tersebut dipercayai diperoleh dari negara jiran dan ditujukan untuk pasaran sekitar Pulau Pinang.

Suspek lelaki didapati positif dadah jenis Benzo dan mempunyai empat rekod jenayah, manakala suspek wanita negatif dan tiada rekod jenayah.

Kedua-dua suspek direman selama tujuh hari sehingga 17 Julai di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – Bernama