KUALA LUMPUR: Polis berjaya menahan suspek kelima yang disyaki terlibat dalam kes samun bersenjata di Semenyih pada 31 Julai lepas.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata lelaki berumur 45 tahun itu ditahan di Lahad Datu, Sabah semalam dan kini direman selama enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.

“Siasatan awal mendapati suspek yang berasal dari Lahad Datu itu mempunyai 10 rekod lampau membabitkan jenayah dan dadah,“ katanya ketika ditemui pemberita pada program “A Tribute To Tun Hanif Omar” di Maktab PDRM Cheras di sini hari ini.

Pada 7 Ogos lepas, Hussein memaklumkan polis telah mengenal pasti identiti suspek kelima yang juga orang awam dipercayai terlibat dalam kes samun berkenaan.

Pada 31 Julai, tiga anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) ditahan kerana disyaki terlibat dengan kejadian samun di sebuah rumah di Jalan Sungai Pening, Kampung Pasir, Semenyih sebelum seorang lagi suspek yang juga orang awam ditahan pada keesokannya.