• 2025-08-15 08:26 PM

NIBONG TEBAL: Tiga lelaki termasuk seorang warga Sri Lanka ditahan dalam serbuan di kawasan Bukit Tambun di sini, Selasa lepas.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) Supt Jay January Siowou berkata serbuan dilakukan oleh polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Pulau Pinang.

“Serbuan pertama pada 4.29 petang di sebuah rumah di Taman Tambun Permai, polis menahan dua lelaki tempatan bersama dadah jenis heroin seberat 1,113 gram,“ katanya.

Heroin base sebanyak 641g, kafein 4kg, dan beberapa bahan kimia serta peralatan pemprosesan dadah turut dirampas.

“Serbuan kedua di sebuah rumah berhampiran pada 5.04 petang, kami menahan seorang lelaki warga Sri Lanka bersama 26kg kafein,“ tambah Jay.

Kesemua dadah yang dirampas dalam dua serbuan itu bernilai RM74,500.

Siasatan awal mendapati rumah pertama dijadikan makmal memproses dadah.

Seorang suspek warga tempatan dikenal pasti sebagai dalang utama dan mempunyai kepakaran memproses heroin.

Dua suspek lain berperanan sebagai pembantu dan penghantar dadah serta bahan kimia untuk sindiket tersebut.

“Kegiatan pemprosesan dadah ini dipercayai aktif sejak Januari lepas untuk pasaran tempatan,“ jelas Jay.

Dua suspek tempatan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah, manakala suspek warga Sri Lanka tiada rekod.

Dadah yang dirampas boleh digunakan oleh 49,500 penagih.

Polis turut menyita empat kenderaan termasuk dua kereta dan dua motosikal bernilai RM134,500.

Keseluruhan nilai rampasan dadah dan kenderaan mencecah RM209,000.

Ketiga-tiga suspek direman tujuh hari sehingga 19 Ogos untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952- Bernama