• 2025-08-15 09:39 PM

NEW DELHI: Ramai masih tertimbus dalam lumpur dan runtuhan pada Jumaat, sehari selepas hujan badai melanda sebuah kampung terpencil di wilayah Jammu dan Kashmir yang ditadbir India.

Angka korban meningkat kepada 60 ketika keluarga mencari mangsa yang hilang di kawasan bencana di sepanjang laluan ziarah penganut Hindu di daerah Kishtwar.

Banjir kilat akibat hujan badai itu menyebabkan kemusnahan besar di kawasan berkenaan dan usaha menyelamat terjejas akibat cuaca buruk serta keadaan muka bumi berbukit.

Ketika kejadian, kawasan itu menempatkan lebih 1,000 orang apabila limpahan air dan runtuhan secara tiba-tiba melanda kampung Chisoti, menimbus rumah, kedai dan kenderaan, menurut saksi kepada media.

Kebanyakan mereka berada di situ untuk mengunjungi kuil Machail Mata.

Seorang wanita berkata ratusan orang sedang menikmati makanan yang disediakan oleh dapur komuniti ketika bencana berlaku.

“Saya tiada kata-kata untuk menggambarkan keadaan yang amat dahsyat,” katanya.

Ramai terpisah daripada ahli keluarga dan rakan masing-masing.

Ketua Menteri Jammu dan Kashmir Omar Abdullah berlepas ke Kishtwar pada petang Jumaat dan merancang untuk berada di lokasi bencana pada awal pagi Sabtu.

Menteri Persekutuan Jitendra Singh berlepas dari bandar Jammu, kira-kira 210 kilometer dari Kishtwar melalui jalan darat, dengan helikopter tentera tetapi berpatah balik “selepas berlegar di udara selama sejam” kerana tidak dapat mendarat.

Beliau kemudian meneruskan perjalanan melalui jalan darat ke kawasan terjejas.

Pasukan Tindak Balas Bencana Negara (NDRF) berkata pasukannya sedang menjalankan operasi mencari dan menyelamat dengan kerjasama pentadbiran awam.

Kira-kira 160 orang telah diselamatkan dan keadaan 38 yang cedera dilaporkan serius, menurut laporan media tempatan - BERNAMA