• 2025-08-06 11:21 AM

KUALA LUMPUR: Polis menembak mati seorang lelaki dipercayai dalang utama kegiatan samun dan pecah rumah dalam kejadian di Jalan Bukit Tunku, di sini awal pagi tadi.

Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Fadil Marsus berkata suspek berusia 36 tahun itu mempunyai 44 rekod jenayah lampau termasuk berkaitan dadah, dan aktif dalam kegiatan pecah rumah serta samun sejak tahun lalu di sekitar Kuala Lumpur, Selangor dan Perak, melibatkan kerugian melebihi RM1 juta.

Menurut beliau, lelaki terbabit dikesan menaiki kereta jenis BMW di lokasi kejadian oleh sepasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman dan JSJ Kontinjen Kuala Lumpur yang melakukan tugasan cegah jenayah melalui Op Api KL 3/2025 pada 4.10 pagi tadi.

“Ketika cubaan untuk memintas kenderaan tersebut, berlaku insiden berbalas tembakan yang mengakibatkan suspek maut di tempat kejadian. Beberapa kesan tembakan turut dikesan pada kenderaan polis,” katanya pada sidang media di lokasi kejadian di sini, hari ini.

Pemeriksaan ke atas kenderaan suspek menemukan sepucuk pistol jenis revolver, beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk kegiatan samun, serta vest polis.

Fadil berkata semakan mendapati kenderaan BMW itu menggunakan nombor pendaftaran palsu dan dipercayai diseludup masuk dari luar negara.

Beliau berkata siasatan awal menunjukkan kumpulan jenayah terbabit menyasarkan rumah kediaman dan premis perniagaan yang mempunyai peti besi, bar emas serta wang tunai, dan dipercayai turut menyamar sebagai anggota polis bagi melancarkan kegiatan mereka.

“Kita percaya kumpulan ini juga terlibat dalam sindiket pengedaran dadah dan mempunyai belasan anggota. Usaha mengesan baki ahli kumpulan sedang giat dijalankan,” katanya. - Bernama