KUALA TERENGGANU: Polis Terengganu menghantar satu unit kereta peronda (MPV) bersama dua anggota untuk mengiringi van jenazah mangsa kemalangan di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Banun, berdekatan Tasik Banding, Gerik, Perak.

Ketua Polis Terengganu Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata inisiatif itu diambil bagi membantu melancarkan perjalanan pergi dan pulang kesemua van jenazah terlibat susulan laporan kesesakan jalan di Gerik.

“Kami dimaklumkan jalan di Gerik sedikit sesak, jadi polis telah menggerakkan sebuah MPV dari Besut ke Gerik untuk mengiringi van jenazah pergi dan pulang.

“Selain itu, polis Kelantan di setiap daerah yang akan dilalui juga membantu mengiringi van jenazah untuk melancarkan perjalanan jika berlaku kesesakan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sehubungan itu, Mohd Khairi meminta orang ramai bekerjasama dengan memberi laluan agar kenderaan polis dan van jenazah itu dapat sampai ke destinasi dengan segera.

Seramai 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) maut manakala 17 lagi parah apabila bas yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan kira-kira 1 pagi tadi.