KUALA LUMPUR: Dua sindiket pengedaran dadah berjaya ditumpaskan dengan penahanan enam individu dan rampasan pelbagai jenis dadah bernilai RM3.8 juta.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata serbuan dijalankan di enam lokasi sekitar Lembah Klang minggu lepas.
“Dalam serbuan berkenaan tiga lelaki tempatan dan tiga wanita asing berusia antara 33 hingga 61 tahun ditahan,“ katanya pada sidang media hari ini.
Beliau berkata kesemua suspek dipercayai berperanan sebagai penjaga stor dan pengedar dadah.
Antara dadah dirampas ialah 462.7 kilogram serbuk MDMA, 38.7kg bunga ganja, 32.78 gram Ketamin, 195g pil Eramin 5 dan 52.81g pil ekstasi.
Keseluruhan rampasan bernilai RM3.8 juta itu dianggarkan untuk bekalan 1.72 juta penagih.
Menurut Fadil, sindiket pertama yang aktif sejak awal tahun ini ditumpaskan dalam serbuan pada 14 Oktober.
Serbuan di tempat letak kereta sebuah pasar raya di Maluri, Cheras membawa kepada penahanan seorang lelaki serta rampasan 18.3kg serbuk MDMA.
Siasatan lanjut membawa kepada penahanan seorang suspek lelaki di Pandan Perdana, Ampang Jaya.
“Suspek kemudian membawa polis ke sebuah rumah di kawasan sama dan berjaya menahan suspek wanita selain merampas pelbagai jenis dadah,“ katanya.
Serbuan seterusnya di sebuah kondominium di Pandan Jaya membawa kepada penahanan dua lagi wanita warga asing.
Pelbagai jenis dadah ditemui disembunyikan di lokasi berkenaan.
Bagi sindiket kedua yang terlibat dalam pengedaran bunga ganja, seorang lelaki ditahan di tempat letak kereta sebuah pasar raya di Jalan Imbi.
Penahanan dibuat kira-kira 10.10 malam, 17 Oktober lepas.
“Pemeriksaan ke atas kereta yang dipandu suspek berjaya menemukan beberapa bungkusan dipercayai bunga ganja seberat 38.7 kg,“ katanya.
Siasatan awal mendapati sindiket itu menyewa kondominium mewah sebagai stor penyimpanan dadah.
Mereka menjalankan transaksi di tempat awam seperti pasar raya dan tempat letak kereta sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.
Fadil berkata ujian air kencing terhadap semua suspek didapati negatif dadah.
Dua daripada lelaki yang ditahan mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah dan dadah.
Kesemua suspek kini direman tujuh hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Seksyen tersebut memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. – Bernama