KUALA LUMPUR: Polis berjaya menumpaskan sekumpulan penjenayah disyaki penculik selepas menembak mati empat individu dalam insiden berbalas tembakan semasa operasi di Skudai, Johor tengah malam tadi.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata dalam operasi sama, pihaknya menahan empat lagi individu, termasuk seorang wanita, berusia lingkungan 25 hingga 43 tahun sekitar daerah itu pada awal pagi ini.

Beliau berkata kumpulan itu disyaki terlibat dalam kes culik seorang lelaki warga China dan seorang wanita tempatan berhampiran Plaza Tol Lebuharaya Maju berhampiran Cyberjaya pada 11 pagi 11 Julai lepas.

Mohd Shuhaily berkata kedua-dua mangsa dibebaskan pada petang 15 Julai di tepi Jalan Pedas-Linggi Negeri Sembilan selepas adik warga China itu membayar tebusan dalam bentuk mata wang kripto berjumlah US$1,161,127.00 (RM5,457,290.90) kepada kumpulan berkenaan.

“Hasil risikan dan siasatan, polis berjaya mengenal pasti suspek terlibat dan pada 11.25 malam tadi, polis mengekori seorang daripada mereka yang memandu kereta Perodua Kelisa di Jalan Skudai-Gelang Patah, Johor.

“Suspek yang menyedari diekori pasukan polis kemudian melepaskan tembakan ke arah kereta polis dan untuk mempertahankan diri, pihak polis telah melepaskan beberapa tembakan menyebabkan suspek berusia 51 tahun itu terkorban, pemeriksaan terhadap kenderaan itu menemukan sepucuk pistol,“ katanya pada sidang media di sini hari ini.

Mohd Shuhaily berkata pemeriksaan lanjut mendapati suspek memiliki enam rekod jenayah dan pernah dikenakan perintah tahanan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959.

Beliau berkata tiga lagi ditumpaskan dalam insiden berbalas tembakan di sebuah rumah teres di Taman Emas Skudai pada 12.05 tengah malam tadi.

Pihak polis, katanya telah pergi ke rumah itu dan selepas memperkenalkan diri, tiada individu membuka pintu menyebabkan pasukan berkenaan bertindak memasuki rumah tersebut sebelum beberapa das tembakan dilepaskan dari dalam rumah ke arah mereka.

“Berlaku insiden berbalas tembakan dan tiga suspek lelaki berusia 35, 39 dan 45 tahun telah terkena tembakan dan meninggal di tempat kejadian, pemeriksaan polis di rumah itu menemukan sebilah parang serta dua pucuk pistol,“ katanya.

Mohd Shuhaily berkata berdasarkan siasatan awal, pihaknya mendapati kumpulan itu hanya terlibat dengan satu kes culik dan sedang menyiasat di mana wang tebusan yang dibayar disimpan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan mana-mana individu yang mempunyai maklumat mengenai kejadian culik berkenaan dimohon tampil membantu siasatan,” katanya.