ALOR SETAR: Empat lelaki warga Thailand dan enam warga Myanmar ditahan dalam serbuan di sebuah pondok usang di kawasan kebun getah berhampiran Jalan Belakang UUM, Bukit Tangga dekat Kubang Pasu, semalam.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Supt Mohd Redzuan Salleh berkata warga Thailand terbabit dipercayai bertindak sebagai tekong darat sementara enam warga Myanmar terdiri daripada tiga lelaki dan tiga wanita dipercayai pendatang tanpa izin.

“Sepasukan polis dari Balai Polis Bukit Kayu Hitam yang membuat tugas pencegahan penyeludupan telah pergi ke pondok usang berkenaan yang disyaki menjadi tempat transit penyeludupan migran pada pukul 10.50 pagi.

“Polis telah membuat pemantauan hampir 10 minit dan ternampak tiga lelaki dan tiga wanita yang dipercayai pendatang asing sedang duduk di pondok berkenaan dan terdapat empat lelaki lain yang merupakan penjaga tempat itu turut berada di kawasan berdekatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata kesemua yang ditahan berusia antara 21 hingga 40 tahun dan tidak mempunyai dokumen perjalanan sah.

Menurut Mohd Redzuan hasil soal siasat mendapati warga Thailand itu ditawarkan upah oleh seorang lelaki Myanmar lain dengan jumlah sebanyak RM65 bagi setiap warga asing yang dibawa dari Kampung Sadao, Thailand ke sempadan Bukit Kayu Hitam.

Kes disiasat di bawah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.