TAPAH: Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Mohamad Hasan menyeru pengundi muda dan kali pertama menunaikan tanggungjawab masing-masing dengan keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, 26 April ini.

Beliau berkata sebagai pengundi baharu yang didaftarkan secara automatik selepas mencapai usia 18 tahun, golongan berkenaan perlu memahami peranan penting mereka dalam menentukan wakil rakyat di kawasan berkenaan.

“Kita tidak mahu melihat peratusan keluar mengundi berada di bawah 50 peratus,“ katanya kepada pemberita selepas turun padang bersama calon BN Dr Mohamad Yusri Bakir di sini hari ini.

Mohamad yang juga Timbalan Presiden UMNO berharap peratusan keluar mengundi pada PRK DUN Ayer Kuning melebihi 70 peratus.

Mengulas perjalanan jentera parti dalam tempoh seminggu kempen, Mohamad berpuas hati dengan kelancaran gerak kerja yang tersusun rapi bagi meraih sokongan pengundi.

Kerusi DUN Ayer Kuning mempunyai 31,897 pengundi berdaftar, terdiri daripada 31,315 pengundi biasa dan 582 anggota polis serta pasangan mereka.

PRK DUN Ayer Kuning menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohamad Yusri, calon Perikatan Nasional (PN) Abd Muhaimin Malek dan Bawani KS (Parti Sosialis Malaysia).