GUA MUSANG: Barisan Nasional (BN) berjaya merampas semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri selepas calonnya Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) kawasan itu dengan majoriti besar 3,352 undi.

Ketua Pemuda UMNO Kelantan itu memperoleh 9,091 undi untuk menewaskan pencabarnya calon PAS Mohd Rizwadi Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN) yang meraih 5,739 undi.

Keputusan rasmi itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya PRK berkenaan Nik Raisnan Daud di pusat penjumlahan rasmi undi di Dewan Perdana, Kompleks Perdana, Majlis Daerah Gua Musang di sini malam ini.

Kerusi DUN Nenggiri dipertanding mulai 2004 dan telah melalui lima pilihan raya sebelum ini, yang menyaksikan empat daripadanya dimenangi oleh BN manakala kali terakhir oleh wakil PN Mohd Azizi Abu Naim.

Pilihan Raya Negeri Kelantan ke-15 pada tahun lepas menyaksikan Mohd Azizi, yang bertanding menggunakan logo PAS, menewaskan calon BN Ab Aziz Yusoff dengan majoriti 810 undi.

Kerusi DUN itu bagaimanapun diisytiharkan kosong oleh Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun selepas Mohd Azizi digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun.

PRK DUN Nenggiri menyaksikan peratusan keluar mengundi 73.88 peratus daripada keseluruhan 20,259 pengundi berdaftar, jauh mengatasi jangkaan awal Suruhanjaya Pilihan Raya sebanyak 60 peratus dan peratusan semasa Pilihan Raya Negeri pada Ogos tahun lepas yang hanya mencapai 61.09 peratus.

Dengan kemenangan Mohd Azmawi Fikri, Kerajaan Perpaduan kini mempunyai tiga wakil dalam DUN Kelantan termasuk ADUN Galas Mohd Syahbuddin Hashim daripada BN dan ADUN Kota Lama Dr Hafidzah Mustakim daripada Pakatan Harapan.

Ini adalah PRK kesembilan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 yang sebelum ini menyaksikan PRK Parlimen Kuala Terengganu (Terengganu), PRK DUN Simpang Jeram dan PRK Parlimen Pulai (Johor), PRK DUN Pelangai (Pahang), PRK DUN Jepak (Sarawak), PRK Parlimen Kemaman (Terengganu), PRK DUN Kuala Kubu Baharu (Selangor) serta PRK DUN Sungai Bakap (Pulau Pinang).