• 2025-10-05 05:56 PM

IPOH: DAP akan mempertahankan semua enam kerusi yang dimenangi sebelum ini pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 akan datang, kata Setiausaha Agungnya Anthony Loke Siew Fook.

Beliau berkata parti itu juga akan bertanding di satu atau dua lagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN itu nanti.

“Satu atau dua lagi kerusi ini kita telah runding untuk memastikan kemenangan bersama,“ katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Tahunan DAP Negeri Perak ke-23 di sini hari ini.

Pada PRN Sabah ke-16, DAP menang enam daripada tujuh kerusi yang ditandingi, iaitu Luyang, Likas, Kapayan, Sri Tanjong, Elopura dan Tanjong Papat.

Bagaimanapun, dua bekas wakil rakyat DAP dari Elopura dan Sri Tanjong menyertai Parti Warisan pada 2022.

Sementara itu, ditanya pemberita sekiranya DAP akan memperketatkan kriteria pemilihan calon, Loke berkata parti itu tidak gusar dan yakin dengan pemimpin pelapis di Sabah, selain isu lompat parti juga telah termaktub di dalam perlembagaan parti dengan wakil rakyat yang khianat akan gugur kelayakan sebagai ahli.

“Apabila hilang kelayakan ahli, mereka akan hilang kerusi dan pilihan raya kecil perlu diadakan di negeri dan juga di peringkat Parlimen yang ada akta anti lompat parti. Di Sabah juga ada undang-undang berkenaan,“ katanya.

Loke berkata kerusi penyandang menjadi asas utama rundingan antara Pakatan Harapan (PH) serta Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi PRN Sabah dan yakin formula itu akan memperkukuh kerjasama untuk jangka masa panjang.

Sementara itu, Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming dalam ucapannya berkata beliau dimaklumkan oleh Bendahari UMNO Perak Datuk Sham Mat Sahat bahawa Jawatankuasa Badan Perhubungan UMNO Perak sebulat suara mencapai kata sepakat untuk BN bekerjasama dengan PH dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16 ) akan datang.

“Kita harap bila mana BN bergabung dengan PH, kita bukan sahaja mampu mentadbir Perak, tetapi kita akan menang majoriti dua pertiga di penggal akan datang,“ katanya yang juga Timbalan Pengerusi DAP - Bernama