TELUK INTAN: Pengeluar produk minuman jenama Ameen, Ameen Products Sdn Bhd berjaya menembusi pasaran benua Afrika apabila menerima tempahan pertama untuk mengeksport tujuh perisa produk minuman tersebut ke negara Mali.
Pengarah Urusan Ameen Products Sdn Bhd Mohammed Irfan Amanulla Khan berkata sebanyak 17,484 botol berperisa mangga, anggur, nenas, tropika dan sirap ros hasil keluaran syarikatnya dieksport ke negara berkenaan.
“Saya amat bersyukut produk minuman ini diterima di Afrika hasil daripada penglibatan saya ke “Gulfood Exhibition 2025” di Dubai pada Februari lepas, kita menerima potensi pembeli semasa berada di sana.
“Kita juga mempunyai beberapa potensi pembeli dari Senegal dan Afrika Selatan semasa menyertai pameran itu dan kini kita sedang melakukan proses rundingan dengan mereka,“ katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas pelepasan kontena produk berkenaan yang disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri Datuk Salbiah Mohamed di Taman Industri Ringan di sini, semalam.
Mohammed Irfan berkata nilai eksport kesemua produk minuman ini membabitkan kos berjumlah RM90,000.
Beliau berkata produk minuman yang diwarisi dari keluarganya dan telah memulakan operasi sejak tahun 1982 turut mengeksport minuman pelbagai perisa itu ke Singapura, Brunei, Kepulauan Mauritius, Kepulauan Fiji serta Bahrain.