KUALA LUMPUR: Program Dapur Digital akan diperluas ke 10 lagi kawasan Program Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) di Wilayah Persekutuan selepas menunjukkan impak positif dalam memperkasa ekonomi golongan B40.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, fasa pertama program ini yang dilaksanakan di lima PPR sebelum ini berjaya mencatat jualan melebihi RM1 juta pada tahun lepas.
Lokasi baharu yang terlibat termasuk PPR Seri Semarak, PPR Hiliran Ampang, PPR Seri Alam, PPR Raya Permai, PPR Kampung Muhibbah, PPR Taman Mulia, PPR Beringi, Pangsapuri Sentul Utama, PA Sri Kedah dan PA Seri Perlis II.
“Inisiatif ini dilaksanakan di bawah Program Usaha Jaya Insan (PUJI) untuk memperkasakan ekonomi komuniti setempat.
Model pelaksanaannya menggunakan kerjasama awam-swasta dengan melibatkan pemain industri, NGO, dan Pepper Labs sebagai tulang belakang utama,“ kata Dr Zaliha.
Program ini bukan sekadar menyediakan latihan penyediaan makanan tetapi juga meliputi aspek pemasaran digital dan pengurusan kewangan.
Latihan dijalankan berhampiran kawasan PPR bagi memudahkan penyertaan penduduk.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Kunci Dapur Digital 2025 di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Dalam ucapannya, Dr Zaliha menekankan bahawa program ini bukan hanya menyediakan dapur moden tetapi juga berfungsi sebagai pusat pemprosesan makanan, ruang e-dagang, pusat latihan kemahiran, dan hab aktiviti komuniti.
Peserta juga dibimbing untuk mendapatkan pensijilan Halal JAKIM, sijil ‘home-based food’, dan pensijilan BeSS dari Kementerian Kesihatan.
“Saya minta Pepper Labs bantu peserta dapatkan semua pensijilan ini supaya pasaran mereka lebih luas dan berdaya saing,“ ujarnya.
Pengerusi PA Seri Perlis 2, Latiff Abu Hassan, 55, berkata program ini memberi peluang kepada wanita terutamanya ibu tunggal dan warga emas untuk menjana pendapatan melalui perniagaan makanan dari rumah.
Dapur Digital merupakan program kerjasama awam-swasta-filantropi pertama di Malaysia dengan sokongan Kementerian Kewangan, Jabatan Wilayah Persekutuan, DBKL, dan Yayasan Hasanah. - Bernama