KUALA LUMPUR: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menawarkan khidmat mengganti dan mencetak kad pesara kerajaan pada Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI yang berlangsung selama tiga hari bermula hari ini di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil di sini.
Penolong Pengarah Bahagian Pencen JPA Muhammad Hatim Mohd Kharudin berkata pesara kerajaan boleh menggunakan peluang sempena program berkenaan untuk mendapatkan atau memperbaharui kad pesara lama mereka di reruai JPA.
“Jika kad pesara mereka sudah lama dengan keadaan kad sudah teruk, warna dah pudar atau kabur, mereka boleh mendapatkan kad baharu. Kad pesara baharu ini ditambah baik daripada segi warna dan huruf.
“Kualiti kad ini sama seperti lesen memandu. Kami juga berikan khidmat nasihat kepada pesara jika mereka mempunyai sebarang kemusykilan mengenai perkhidmatan yang mereka terima,” katanya ketika ditemui Bernama di Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI, di sini hari ini.
Muhammad Hatim berkata kad pesara merupakan pengenalan diri bagi membolehkan pesara menikmati kemudahan perubatan di klinik atau hospital kerajaan serta kemudahan lain seperti diskaun di pasaraya Mydin.
Kemudahan kad pesara layak dinikmati oleh pesara atau penerima pencen, isteri atau suami penerima pencen dan anak berumur bawah 18 tahun (yang belum berkahwin).
Kad pesara dikeluarkan di bawah Seksyen 23, Peraturan-peraturan Pencen 1980 bagi pesara/penerima pencen Perkhidmatan Awam atau Seksyen 20, Peraturan-peraturan Pencen Pihak-pihak Berkuasa Berkanun dan Tempatan bagi pesara/penerima pencen Pihak Berkuasa Berkanun dan Tempatan.
Reruai JPA juga menawarkan nasihat mengenai program-program penajaan JPA kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) seperti Program Dermasiswa B40 (DB40), Program Ijazah Dalam Negara, Program Penajaan Nasional, Program Khas Jepun, Korea, Perancis Jerman (JKPJ) dan Program Khas Lepasan SPM Dalam Negara.
Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Pembangunan Modal Insan JPA Shazwani Ahmad berkata di reruai berkenaan pelajar dan ibu bapa boleh mengetahui program penajaan JPA khususnya mengenai DB40 yang kurang diketahui umum.
“DB40 merupakan penajaan berbentuk dermasiswa kepada pelajar lepasan SPM dalam kalangan keluarga B40 untuk melanjutkan pengajian ke peringkat Diploma dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di universiti awam, politeknik dan Institut Kemahiran Awam (IKA) yang dikenal pasti,” katanya.
Beliau berkata JPA menyasarkan 10,000 pengunjung ke reruainya kerana keseluruhan Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI menyasarkan 200,000 orang selama tiga hari berlangsung.
Program yang membuka tirai hari ini hingga Ahad adalah untuk menyebar luas dan mempromosi dasar-dasar dan inisiatif baharu yang diperkenalkan kepada rakyat oleh Kerajaan Perpaduan selain menyajikan pelbagai tarikan termasuk kaunter pengurangan kadar kompaun saman Polis Diraja Malaysia (PDRM), kaunter pendaftaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan kaunter wang tidak dituntut (JANM).–Bernama