KUALA LUMPUR: Program Wanita Bangkit@KPWKM di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah memberi manfaat kepada 18,664 wanita di seluruh negara, setakat tahun lepas.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata KPWKM menambah baik program dari semasa ke semasa bagi membantu lebih banyak wanita menjana pendapatan.

“Bagi 2023, 70 peratus peserta masih lagi meneruskan perniagaan untuk menjana ekonomi keluarga, 30 peratus tidak dapat meneruskan perniagaan atas faktor mendapat pekerjaan lain, ada tidak sihat, menjaga keluarga sakit atau menumpukan masa untuk keluarga,“ katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.

Menjawab soalan tambahan Senator Datuk Seri Zurainah Musa mengenai kepentingan kesihatan mental dalam kalangan wanita bekerja pula, Noraini berkata ia memang penting untuk seorang wanita mempunyai keseimbangan dalam melakukan pekerjaan dan menjaga keluarga.

“Antara perkara yang kami tekankan adalah mengenai kesihatan mental sebab kita merasakan bahawa ia adalah satu cabaran yang dihadapi sekarang ini dan setiap kali kita anjurkan apa-apa program keusahawanan, maklumat mengenai kesihatan mental juga diberikan penekanan.