KUALA LUMPUR: Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang sedang dibina oleh China Communications Construction Company (CCCC) di Malaysia mencatat satu lagi pencapaian penting pada Sabtu dengan penembusan Terowong Genting sepanjang 16.39 kilometer, lapor Xinhua.
Menurut kenyataan syarikat itu selepas majlis penembusan, kejayaan itu adalah pencapaian besar memandangkan terowong itu terletak di bawah kawasan pergunungan setinggi lebih 750 meter.
Menteri Pengangkutan Malaysia Anthony Loke Siew Fook, yang merasmikan majlis itu berkata pencapaian itu turut mencerminkan kejayaan kerjasama antara Malaysia dan China dalam bidang kejuruteraan rel.
“ECRL juga dilihat sebagai ‘pengubah keadaan’ dalam pergerakan penumpang dan kargo di Semenanjung Malaysia kerana infrastruktur rel ini akan menghubungkan ibu negeri, pusat bandar utama, kawasan perindustrian, pelabuhan, lapangan terbang dan zon pelancongan serta berintegrasi dengan rangkaian rel sedia ada sepanjang koridor ECRL,” katanya dalam sidang media.
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) Darwis Abdul Razak pula berkata penembusan Terowong Genting turut menandakan siapnya kerja-kerja pengorekan bagi kesemua 41 terowong ECRL sepanjang jajaran 665 km.
“Detik penting ini menyerlahkan kerjasama kukuh dan komitmen tinggi dalam kalangan warga ECRL di semua peringkat dalam melaksanakan kerja-kerja pengorekan terowong dengan perancangan rapi dan protokol keselamatan yang mantap,” katanya.
Terowong Genting, yang terletak di dalam banjaran Gunung Titiwangsa, merupakan terowong paling mencabar daripada segi teknikal daripada 41 terowong yang dibina dalam keseluruhan jajaran ECRL. Ia dibina menggunakan mesin pengorek terowong (TBM) berteknologi tinggi serta kaedah letupan dan penggerudian di kawasan geologi yang sangat kompleks dan pelbagai.
Mengulas cabaran pembinaan dalam keadaan itu, Timbalan Pengurus Besar CCCC Second Highway Engineering Co., Ltd. Chen Jianfeng berkata teknologi TBM dari China merupakan antara yang paling maju di dunia dan sesuai untuk keadaan sedemikian.
“Terowong Genting menghadapi pelbagai cabaran geologi seperti kemasukan air, letusan batu, batuan lembut dan enam zon tersesar. Oleh itu, kami memilih kaedah TBM yang menawarkan keselamatan, kestabilan dan kecekapan lebih tinggi,” katanya kepada Xinhua.
Beliau turut menekankan kerjasama erat antara pasukan China dan Malaysia dalam berkongsi pengetahuan serta menyepadukan proses, bukan sahaja dari segi kepakaran dan peralatan canggih tetapi juga dalam aspek penyetempatan.
“Sepanjang pembinaan, kami memberi penekanan utama terhadap aspek penyetempatan sambil terus berusaha ke arah penyepaduan piawaian China dan Malaysia - satu tumpuan utama dalam usaha kami. Semasa projek, kami menggabungkan pelbagai elemen tempatan Malaysia dan secara aktif memupuk bakat tempatan,” katanya.
“Ramai personel teknikal Malaysia telah dihantar ke China untuk latihan. Memandang ke hadapan, ECRL akan dioperasi menerusi sebuah perkongsian China-Malaysia, menerusi operasi dan penyenggeraan bersepadu.
Dengan siapnya semua kerja pengorekan terowong, projek ECRL kini memasuki fasa seterusnya yang melibatkan pemasangan landasan, elektrifikasi, sistem isyarat dan komunikasi serta kerja dalaman stesen. Semua kerja itu berjalan mengikut jadual dan sejajar dengan pelan induk projek.
ECRL akan menghubungkan hab pengangkutan terbesar Malaysia di Pelabuhan Klang merentasi Semenanjung Malaysia hingga ke negeri Kelantan di pantai timur. Laluan ini dijangka meningkatkan kesalinghubungan dan merangsang pembangunan lebih seimbang antara pantai barat dan timur negara - BERNAMA-XINHUA