BUKIT KAYU HITAM: Projek pembinaan laluan jalan raya bagi menghubungkan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, di sini ke Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Sadao di Thailand dijangka siap lebih awal daripada tarikh yang dijadualkan.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata kemajuan projek bernilai RM141.57 juta itu kini telah mencapai 47 peratus setakat 29 April lepas.

“Tarikh milik tapak projek ini adalah pada 21 Jun 2024 dan dijadualkan siap pada September tahun ini ... tetapi, saya dimaklum kontraktor dan mereka yang berkaitan dengan projek ini bahawa ia mungkin dapat disiapkan awal sikit.

“Itu berita baik, kalau betul-betul kita boleh siapkan lebih awal, baguslah ... status kemajuan fizikal setakat 29 April ialah 47 peratus, ia sedikit kebelakang, tetapi saya difahamkan akan dapat disiapkan mengikut perancangan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau perkembangan kemajuan projek itu di sini hari ini.

Nanta berkata skop projek berkenaan merangkumi pembinaan jalan berkembar enam lorong dua hala sepanjang 900 meter dan pembinaan jalan perkhidmatan sepanjang 300 meter ke Markas Taktikal Pasukan Gerakan Am (PGA) Bukit Kayu Hitam.

Selain itu, katanya projek terbabit turut melibatkan kerja perobohan bangunan dan fasiliti lama serta menggantikan dengan bangunan baharu Kem Batalion ke-5 Rejimen Sempadan Bukit Kayu Hitam.

“Ia juga melibatkan pembinaan Bangunan Pos Kawalan Akhir dan Pintu Gerbang Berbumbung,“ katanya.

Beliau berkata projek itu bertujuan meningkatkan keterhubungan, mobiliti dan capaian rakyat di kawasan sempadan serta memastikan jaringan jalan raya berkualiti, selamat dan selesa.

Pada Nov 2023, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama rakan sejawatnya dari Thailand ketika itu Srettha Thavisin mengadakan lawatan di tapak projek itu dan kedua-dua pemimpin bersetuju agar projek berkenaan dipercepat.