KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan membantah permohonan Datuk Wan Saiful Wan Jan bagi mendapatkan penyata bank sebuah syarikat berhubung kes pengubahan wang haram dan rasuah projek Jana Wibawa yang dihadapi bekas Ketua Penerangan Bersatu itu.
Berdasarkan afidavit balasan bagi permohonan itu yang diperoleh media, pendakwa raya selaku responden pertama membantah permohonan tersebut kerana tiga penyata bank akaun milik Nepturis Sdn Bhd yang dipohon Wan Saiful bukan satu keperluan.
“Selain itu, penyata bank tersebut tiada kaitan dengan pertuduhan yang dikemukakan pendakwaan terhadap pemohon (Wan Saiful) di bawah Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan Seksyen 4 (1) (b) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaian Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.
“Dokumen-dokumen berkaitan pertuduhan termasuk penyata bank Maybank milik syarikat Nepturis Sdn Bhd telah diserahkan kepada pihak pemohon mengikut pertuduhan-pertuduhan melalui serahan di bawah Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah,” kata pendakwa raya dalam afidavit itu.
Selain itu, pihak pendakwaan memohon mahkamah mengetepikan nama dua responden iaitu Eksekutif Maybank Cawangan Taman Tun Dr Ismail Raja Muhammad Aiman Raja Sa’adi yang juga saksi pendakwaan ke-15 dan Maybank Islamic Berhad dalam permohonan Wan Saiful itu.
Wan Saiful memfailkan notis permohonan dan afidavit sokongan di Mahkamah Sesyen di sini pada 16 Jan lepas dengan menamakan pendakwa raya Raja Muhammad Aiman dan Maybank Islamic Berhad sebagai responden pertama hingga ketiga.
Ahli Parlimen Tasek Gelugor itu memohon mahkamah mengeluarkan perintah kepada ketiga-tiga responden untuk memberi tiga penyata bank Maybank atas nama Nepturis Sdn Bhd bagi tempoh Januari 2021 hingga Disember 2023 kepada pemohon sama ada dalam bentuk fizikal atau peranti storan digital.
Menerusi afidavit sokongan, Wan Saiful berkata Raja Muhammad Aiman yang telah dipanggil untuk memberikan keterangan berkaitan hal ehwal akaun bank milik Nepturis di mahkamah belum dilepaskan kerana pemeriksaan utama oleh pihak pendakwaan terhadapnya masih belum selesai.
Wan Saiful berkata semasa Raja Muhammad Aiman memberi keterangan di mahkamah pada 19 dan 20 Sept 2024, beliau telah merujuk dan mengesahkan beberapa dokumen antaranya penyata bank Maybank atas nama Nepturis namun penyata bank yang diberikan kepada pihak pembelaan hanya daripada Julai 2022 hingga Disember 2022 dan Januari 2023 hingga Jun 2023.
“Dokumen-dokumen (penyata bank) ini perlu kerana ia berkaitan pertuduhan yang dikenakan terhadap saya dan ia relevan bagi membolehkan mahkamah memperoleh pemahaman lengkap serta holistik berkenaan fakta-fakta material, keterangan dalam kes ini dan pembelaan saya bagi mencapai suatu keputusan yang adil,” katanya dalam afidavit itu.
Pada prosiding sebutan kes itu hari ini, Timbalan Pendakwa Raya Farah Ezlin Yusof Khan memaklumkan kepada Hakim Mahkamah Sesyen Rosli Ahmad bahawa pihaknya telah memfailkan afidavit balasan bagi membantah permohonan Wan Saiful dan permohonan mengetepikan dua responden terbabit.
“Saya mahu dengar permohonan pendakwaan bagi mengetepikan dua responden terlebih dahulu pada 27 Feb ini dan perbicaraan kes itu bersambung esok dengan saksi baharu memberi keterangan,” kata Rosli.
Sementara itu, peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili Wan Saiful berkata pihaknya akan membantah permohonan pendakwaan untuk mengetepikan dua responden itu.
Wan Saiful, 49, didakwa meminta suapan wang daripada Lian Tan Chuan sebagai dorongan untuk membantu Nepturis Sdn Bhd mendapatkan projek Central Spine Road: Sertik Ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur daripada kerajaan Malaysia, secara prakelayakan bernilai RM232 juta.
Beliau juga didakwa menerima wang tunai RM6,962,694.54 melalui akaun CIMB Bank Berhad milik syarikatnya WSA Advisory Group Sdn Bhd daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Nepturis Sdn Bhd sebagai upah membantu syarikat itu mendapatkan surat setuju terima (SST) bagi projek terbabit.
Wan Saiful didakwa melakukan kedua-dua kesalahan di Royal Lake Club, Taman Tasik Perdana di sini pada April 2022 dan di CIMB Bank Berhad Cawangan Bukit Tunku antara 8 Julai hingga 30 Sept 2022.
Wan Saiful turut berdepan 18 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM5.59 juta, dengan memindah dan menggunakan wang hasil aktiviti haram itu antaranya bagi membayar pembelian kenderaan jenis Ford Ranger, pembayaran kepada Majlis Sukan Negara Malaysia, selain memindahkan wang itu ke beberapa akaun syarikat termasuk milik Sinar Karangkraf Sdn Bhd di Cawangan CIMB Bank Berhad Bukit Tunku di sini, antara 12 Ogos dan 13 Nov 2022.