TAWAU: Projek Solar Berskala Besar (LSS) Q-Solar Tawau yang sedang dibangunkan di Jalan Timur dijangka mengukuhkan grid elektrik Sabah, khususnya di kawasan Pantai Timur. Ladang solar seluas 18.21 hektar ini mampu menjana 15 megawatt (MW) tenaga bersih, membantu mengurangkan kebergantungan terhadap sumber diesel dan gas asli.
Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor berkata projek ini selari dengan pelan induk tenaga negeri, Sabah Energy Roadmap and Master Plan (SERAMP). “Ia bukan sahaja menyelesaikan isu bekalan elektrik, malah membentuk masa depan tenaga lebih bersih dan stabil menjelang 2026,“ katanya melalui wakilnya, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan.
Projek bernilai RM60 juta ini turut memberi manfaat ekonomi kepada komuniti setempat, termasuk peluang pekerjaan dan latihan teknikal untuk belia tempatan. “Ini bukan projek sementara, tetapi langkah membina kapasiti tempatan untuk jangka panjang,“ tambah Hajiji.
Pelaksanaan projek ini melibatkan kerjasama Qhazanah Sabah Berhad (QSB), Qhazanah Energy Sdn Bhd (QESB), dan QSolar Tawau Sdn Bhd. - Bernama